Sunday, April 15, 2018

Resume; Kehidupan Baru

Kau (pernah) ceritakan pada aku tentang mimpi-mimpi yang jauh dan masa depan yang masih samar. Kita sangat faham bahawa kehidupan ini bukanlah suatu permainan yang dapat kita ulang sekiranya gagal, tapi kehidupan adalah persediaan akan kemungkinan yang tidak terjangkakan dek akal. Kalau lelah, jangan lupa untuk saling mengingatkan agar kita sentiasa beristirehat dalam tautan doa.

Tuhan tidak menjadikan sesuatu perkara bahkan menciptakan kehidupan ini dengan sia-sia. Segalanya penuh hikmah sehingga perkara yang paling sukar sekalipun; contohnya tentang “kita” .

Aku mengatakan kehidupan baru ini sebagai kehidupan untuk aku beristirehat, kerana aku tahu amat lelah untuk terus mengejar waktu. Aku perlukan istirehat, tidak ada keinginan khusus; hanya berehat.

Pada kehidupan lalu, kita bertemu pada satu pertemuan yang tidak pernah kita duga. Kita memulai segalanya dengan pertemuan yang diatur rapi oleh Tuhan bersama selingan percakapan ringan.

Aku tahu bahawa banyak pe(rasa)an yang belum jelas ketika itu. Aku faham tentang kamu, tapi aku tidak pernah berhenti mencuba. Berselisih pendapat, berdebat, beremosi bahkan beberapa kali bergaduh pun, kita berjaya melaluinya tapi tetap lebih banyak sokongan, perhatian dan rindu yang saling kita sampaikan.

Pada kehidupan lalu, aku ingin ucapkan terima kasih kerana telah mengizinkan aku mengenali kamu. Aku juga ingin meminta izin untuk terus mengenali kamu pada kehidupan baru dengan cara ini; jarak dan masa yang menjauhkan dalam diam juga dalam doa.

Resume; Kehidupan Baru.

Mari menyusun doa, menyusun langkah untuk kembali berjalan dan meneruskan kehidupan agar menjadi lebih baik. Allah knows what is the best for us.

Kalau ada jodoh, kita (akan) bertemu kembali.

InshaaAllah. 
@atqhmzhr